PRESTASI SSPN

PTPTN Catat Keuntungan Pelaburan SSPN  Sebanyak RM118.46 Juta Bagi Tempoh  Setengah Tahun Pertama 2020

PTPTN Catat Keuntungan Pelaburan SSPN Sebanyak RM118.46 Juta Bagi Tempoh Setengah Tahun Pertama 2020

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mencatat keuntungan pelaburan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM118.46 juta bagi tempoh setengah tahun pertama tahun 2020. Keuntungan pelaburan tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 19.66% berbanding RM99.00 juta bagi tempoh yang sama tahun 2019.

Peningkatan keuntungan ini disokong oleh kaedah pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan atau keuntungan yang tinggi dan positif. Pemantapan strategi pelaburan dengan menumpukan kepada simpanan tetap jangka panjang berjaya mengurangkan tekanan daripada pasaran ekuiti yang tidak menentu di peringkat global. Ia adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan simpanan dalam SSPN sentiasa terjamin dan dilindungi.

Impak pandemik Covid-19 pada tahun 2020 ke atas ekonomi negara menjadi cabaran bagi PTPTN dalam menguruskan pelaburan dana SSPN demi melindungi kepentingan pendeposit. Untuk itu, PTPTN telah mengambil langkah untuk mengenalpasti kesan Covid-19 ke atas pelaburan melalui pemantauan berkala. Di samping itu, strategi pelaburan yang mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemah juga dilakukan bagi memastikan kadar pemberian dividen yang kompetitif berbanding institusi-institusi kewangan yang lain.

Sememangnya penularan wabak Covid-19 telah memberikan impak yang ketara terhadap ekonomi dan pasaran kewangan dunia, termasuk ekonomi dan pasaran kewangan tempatan. Namun begitu, kepercayaan dan sokongan para pendeposit SSPN kekal utuh dan sentiasa berterusan menyimpan di dalam SSPN bagi tujuan pendidikan anak-anak walau pun dalam situasi yang mencabar ini. Buktinya rekod pencapaian SSPN bagi tempoh setengah tahun pertama tahun ini terus meningkat. Jumlah deposit yang diterima adalah sebanyak RM682.02 juta berbanding RM425.00 juta pada tempoh yang sama tahun 2019. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM257.02 juta atau 60.48%, sekali gus menjadikan deposit SSPN keseluruhan sehingga Jun 2020 berjumlah RM6.57 bilion.

Peningkatan ini adalah hasil usaha dan kerjasama daripada semua pihak serta usaha PTPTN dalam mendepani cabaran-cabaran baharu termasuk menyesuaikan diri dengan situasi semasa pandemik Covid-19. Ia merangkumi usaha memperkasakan pemasaran SSPN secara digital atau dalam talian (online), pembudayaan norma baharu dalam pengoperasian serta penyampaian perkhidmatan dan maklumat kepada para pelanggan.

SSPN merupakan instrumen simpanan yang diwujudkan oleh PTPTN, dijamin sepenuhnya oleh kerajaan serta produk patuh syariah yang menggunakan konsep “Wakalah Bil Istithmar” di samping menawarkan pelbagai manfaat penabungan seperti pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000, geran sepadan sehingga RM10,000, perlindungan takaful dan dividen yang kompetitif.

Dengan pelbagai manfaat dan insentif yang ditawarkan serta peningkatan kesedaran masyarakat terhadap penabungan bagi tujuan pendidikan, sehingga 30 Jun 2020 sebanyak 184,992 akaun baharu SSPN telah dibuka. Secara keseluruhan, sejak SSPN dilancarkan pada tahun 2004 sehingga setengah tahun pertama 2020 sebanyak 4.57 juta akaun SSPN telah dibuka.

PENGENALAN SSPN I PLUS  SSPN-i Plus  merupakan pelan simpanan patuh syariah yang direka oleh Perbadanan  Tabung Pendidikan Tinggi Nasional...